Feb 1, 2007
Kenapa perlu menolak syiah?

 
KENAPA KITA PERLU MENOLAK SYIAH
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Semenjak kemenangan (jika benar ianya boleh dianggap
sebagai satu kemenangan) tentera Hizbullah di Lubnan
serta kelantangan Presiden Iran iaitu Mahmoud
Ahmadinejad mengkritik Amerika kita dapat merasakan
bahawa golongan Syiah di Malaysia seakan-akan mendapat
modal yang baru untuk menyebarkan ajaran yang telah
diwartakan sesat di Malaysia. Jika beberapa tahun
sebelumnya pengembangan ajaran Syiah agak suram tetapi
kini mubaligh-mubaligh mereka semakin aktif
menjalankan aktiviti-aktiviti mereka. Di alam cyber,
mereka mula menyebarkan jarum-jarum ajaran mereka
ditengah-tengah masyarakat Islam. Malah ada juga
dikalangan mereka yang cuba untuk menggunakan media
massa tempatan untuk tujuan tersebut. Namun makar
mereka mudah dihidu oleh golongan Ahlus Sunnah lantas
hujah mereka segera dibantah secara ilmiah. Namun
begitu yang menghairankan apabila makar syiah ini
ingin dibongkarkan wujud pula segelintir manusia yang
melihatnya seolah-olah ianya satu perbuatan yang
menjatuhkan sekelompok umat Islam yang lain. Ya,
mereka menganggap syiah hanyalah salah satu mazhab
yang lain dalam Islam seperti mazhab Hanafi, Maliki,
Syafi’i atau Hanbali. Lalu mereka akan menempelak
golongan yang menentang fahaman Syiah ini sebagai
golongan yang tidak berlapang dada kerana mencela
sekelompok manusia yang menyembah Allah sama, menerima
risalah yang sama daripada Rasulullah s.a.w dan
bersolat menghadap kiblat yang sama. Kenapa jadi
begini? Yang hendak menyebarkan kebenaran ditempelak
sedangkan mereka yang mempropagandakan kesesatan
dibela. Ini adalah hasil dari gelagat sesetengah
golongan agama di negara ini yang hanya bijak
menyesatkan fahaman Syiah namun gagal untuk
memperjelaskan apakah sebenarnya kesesatan-kesesatan
ajaran Syiah ini. Oleh itu melalui makalah ini penulis
akan membentangkan secara ringkas beberapa kesesatan
utama ajaran Syiah al-Rafidah yang dinukilkan dari
kitab-kitab rujukan utama mereka sendiri agar wajah
sebenar fahaman Syiah ini akan dapat dikenali oleh
umat Islam di Malaysia.

1) Mengkafirkan Para Sahabat

Golongan syiah amat membenci para sahabat Nabi dan
gemar mencela mereka terutamanya Abu Bakar, ‘Umar dan
‘Uthman yang dianggap telah merampas jawatan khalifah
yang sepatutnya menjadi hak ‘Ali. Di antara ciri utama
syiah adalah mereka mengkafirkan generasi terbaik bagi
umat Islam iaitu para sahabat.

Al-Kushshi yang merupakan tokoh ulamak rijal syiah
pada kurun ke 4 telah meriwayatkan dari Abu Ja’far
yang berkata: Semua manusia itu telah murtad setelah
wafatnya Nabi kecuali 3 orang.

Aku bertanya: Siapakah yang 3 orang itu?

Maka jawabnya : Al-Miqdad ibn al-Aswad, Abu Dzarr
al-Ghifari dan Salman al-Farisi. – AL-Kushshi di dalam
Rijal al-Kushshi.

Hal yang sama juga telah diriwayatkan oleh ulamak
hadis utama golongan syiah iaitu al-Kulaini di dalam
kitabnya al-Kafi yang dianggap golongan Syiah setaraf
dengan Shahih al-Bukhari bagi golongan Ahlus Sunnah.

Ternyata fahaman Syiah yang mengkafirkan para sahabat
merupakan satu perkara yang amat terkutuk. Terdapat
banyak ayat-ayat al-Qur’an yang memuji para sahabat
Nabi. Sebagai contohnya Allah s.w.t. berfirman:

Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula
(berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang
"Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut
(jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan
taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda
akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka
Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa
sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya;
itulah kemenangan yang besar. – al-Tawbah (9) : 100

Rasulullah s.a.w. sendiri telah mengharamkan celaan
dilontarkan terhadap para sahabatnya. Sabda Rasulullah
s.a.w.:

Janganlah kamu mencela para sahabatku. Kalaulah
seseorang kamu menafkahkan emas sebesar bukit Uhud,
nescaya belum sampai secupak atau setengah cupak dari
apa yang mereka nafkahkan. – Hadis riwayat Imam
Bukhari dan Muslim.

Rasulullah s.a.w. juga telah mengajar kita untuk
melaknat mereka yang suka mencela para sahabatnya.
Sabdanya:

Apabila kamu melihat seseorang mencaci maki para
sahabat ku katakanlah: Laknat Allah di atas segala
kekejian kamu. – Hadis riwayat Imam Tirmidzi.

2) Menolak ketulenan al-Qur’an

Golongan Syiah melihat al-Qur’an yang ada ditangan
umat Islam bukan lagi al-Qur’an yang asal sebagaimana
yang diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w.. Al-Qur’an
yang asli memiliki 17,000 ayat dan ini bermakna
al-Qur’an yang ada pada tangan kita ini telah hilang
sebanyak 2/3 dari isi kandungannya.

Abu ‘Abdullah a.s telah berkata: Al-Qur’an yang dibawa
oleh malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad s.a.w.
terdiri dari 17,000 ayat. – Riwayat al-Kulaini di
dalam al-Kafi mina al-Ushul.

Menurut mereka al-Qur’an yang asli ini hanya dimiliki
oleh Saidina ‘Ali r.a dan kemudian disimpan oleh
Fatimah r.a lalu dinamakan Mushaf Fatimah.

Abu ‘Abdullah berkata: (Mushaf Fatimah) Iaitu mushaf
di mana di dalamnya terdapat al-Qur’an yang lebih
besar 3 kali ganda dari al-Qur’an yang ada sekarang.
Demi Allah, di dalamnya tidak ada satu huruf pun yang
sama dengan al-Qur’an sekarang. - Riwayat al-Kulaini
di dalam al-Kafi mina al-Ushul.

Syiah juga berpandangan para sahabat telah merubah isi
kandungan al-Qur’an dan membuang segala ayat yang
membuktikan jawatan Khalifah itu milik Saidina ‘Ali
serta seluruh ahli keluarganya, ayat-ayat yang mencela
golongan muhajirin serta ansar serta ayat-ayat yang
menyokong segala doktrin yang dianuti oleh Syiah.

Abu Hussain Musa a.s menulis surat kepada ‘Ali bin
Suwaid ketika beliau berada di dalam penjara:
Janganlah kamu mencari agama dari orang yang bukan
dari kalangan syiahmu. Janganlah sekali-kali kamu suka
kepada agama mereka kerana mereka adalah pengkhianat.
Mereka telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya dan
telah mengkhianati amanah yang telah diberikan kepada
mereka. Tahukah kamu apakah pengkhianatan yang telah
mereka lakukan terhadap amanah yang diserahkan itu?
Mereka telah diamanahkan supaya menjaga kitab Allah
(al-Qur’an) tetapi mereka telah memesongkan dan
menukar gantikan isinya. - Riwayat al-Kulaini di dalam
al-Kafi mina al-Ushul.

Mereka menyakini al-Qa’im iaitu imam mereka yang ke
12, Muhammad bin Hassan al-Askari yang telah ghaib
pada tahun 260H akan dibangkitkan menjadi Imam
al-Mahdi dan bakal membawa bersamanya al-Qur’an Mushaf
Fathimah tersebut. Sebelum munculnya al-Qa’im golongan
Syiah akan turut mempergunakan al-Qur’an sebagaimana
yang ada pada tangan umat Islam sekarang ini.

Seorang lagi pakar hadis Syi’ah, al-Sayyid Ni’matullah
al-Husaini al-Jazairi telah berkata: Disebutkan
riwayat-riwayat yang ada bahawa para Imam Syiah
menyuruh pengikutnya untuk membaca al-Qur’an yang ada
sekarang ketika solat dan lain-lain, serta
mengamalkannya sehingga penguasa zaman (al-Mahdi)
muncul, lalu mengangkat seluruh al-Qur’an yang ada di
tangan manusia ke langit dan mengeluarkan al-Qur’an
yang disusun Amirul Mukminin ‘Ali bin Abu Thalib, lalu
dia membaca dan mengamalkan hukum-hukumnya - al-Sayyid
Ni’matullah al-Husaini al-Jazairi di dalam al-Anwar
al-Nu’maniyah.

Demikianlah sepintas lalu tentang pegangan Syiah
terhadap ketulenan al-Qur’an. Hal ini amat bercanggah
dengan syarak kerana Allah S.W.T. telah memberi
jaminan bahawa Dia akan memelihara isi kandungan
al-Qur’an dari diselewengkan. Firman-Nya:

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan
Kamilah yang memelihara dan menjaganya. – al-Hijr (15)
: 9

Mereka yang ingkar kepada mana-mana isi kandungan
al-Qur’an serta beranggapan bahawa ianya memiliki
sebarang bentuk kepalsuan maka mereka ini akan diberi
balasan azab siksa oleh Allah S.W.T.. Firman-Nya:

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar terhadap
Al-Quran ketika sampainya kepada mereka, (akan ditimpa
azab seksa yang tidak terperi); sedang Al-Quran itu,
demi sesungguhnya sebuah Kitab Suci yang tidak dapat
ditandingi, Yang tidak dapat didatangi sebarang
kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia
diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha
Terpuji. – al-Fussilat (41) : 41-42

3) Beranggapan Allah S.W.T memilki sifat al-Bada’

Syiah berkeyakinan bahawa Allah S.W.T. memiliki sifat
al-Bada’. Al-Kulaini yang merupakan ulamak hadis yang
paling utama bagi mazhab syiah mempunyai satu bab yang
khusus dengan judul al-Bada’. Al-Ridha Ali bin Musa
berkata:

Tidak ada seorangpun Nabi yang diutus Allah melainkan
dia membawa ajaran tentang haramnya arak dan mengakui
Allah mengalami al-Bada’ - Riwayat al-Kulaini di dalam
al-Kafi mina al-Ushul.

Al-Bada’ bererti lupa dan tidak tahu. Mereka
beranggapan bahawa terdapat perkara yang ilmu Allah
tidak meliputinya. Abu Muhammad al-Hassan ibnu Musa
Al-Naubakthi seirang ulamak Syiah kurun ke 3 yang
dianggap thiqah (terpercaya) telah meriwayatkan bahawa
Ja’afar bin Muhammad al-Baqir telah menentukan anaknya
Ismail sebagai Imam sesudahnya dan beliau
mengisyaratkan kepadanya semasa hidup lagi, tiba-tiba
Ismail mati ketika beliau masih hidup. Maka Ja’afar
pun berkata:

Tidak pernah berlaku kepada Allah (al-Bada’) berhubung
dengan sesuatu seperti mana berlaku kepada-Nya
berhubung dengan Ismail anakku. – Al-Naubakhti di
dalam Firaqu al-Syi’ah.

Lihatlah bagaimana fahaman Syiah yang mencemari sifat
Allah S.W.T. yang Maha Tinggi Dia dari sebarang bentuk
ketidak-sempurnaan. Firman-Nya:

Nabi Musa menjawab: "Pengetahuan mengenainya ada di
sisi Tuhanku, tertulis di dalam sebuah Kitab; Tuhanku
tidak pernah keliru dan Dia juga tidak pernah lupa".
Taha (20) : 52

Firman-Nya lagi:

Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Ia
menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku
terus menerus di antara alam langit dan bumi.
(Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui
bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi
ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu. Al-Talaaq (65) : 12

4) Mereka adalah golongan yang sukar dipercayai kerana
fahaman Taqiyyahnya

Harmalah berkata: Aku mendengar Imam al-Syafi’i
berkata: Aku tidak pernah melihat orang sangat suka
membuat pembohongan selain golongan Rafidhah – Rujuk
Adab al-Syafi’i, Manaqib al-Baihaqi dan al-Sunan
al-Kubra.

Inilah pandangan Imam al-Syafi’i r.h tentang golongan
Syiah. Ternyata pandangan beliau ini mempunyai dasar
yang kukuh kerana fahaman Syiah ini didirikan atas
dasar pembohongan demi pembohongan yang direka-reka
demi untuk mengukuhkan fahaman mereka. Dr. Ihsan Ilahi
Dzahir r.h. berkata:

Jika Syiah berbicara pasti dia akan bohong didalamnya.
Seolah-olah Syiah dan kebohongan adalah dua kata yang
tidak boleh dipisahkan. Ke dua kata tersebut wujud
semenjak awal kemunculan aliran tersebut. – Rujuk
Al-Syi’ah was-Sunnah (edisi terjemahan dengan tajuk
Virus Syi’ah Sejarah Alienisme Sekte, Darul Falah,
Jakarta 2002), ms. 168.

Syiah melihat taqiyyah atau pada hakikatnya berdusta
atau mengatakan serta melakukan (sesuatu), berlainan
dengan apa yang kamu yakini sebagai dasar utama dalam
agama mereka. Terdapat riwayat-riwayat yang banyak di
dalam kitab-kitab mereka yang menunjukkan keutamaan
taqiyyah. Mereka berpandangan bahawa sesiapa yang
tidak bertaqiyyah maka mereka tergolong di dalam
golongan yang tidak beriman.

Jaafar al-Sadiq berkata: Taqiyyah adalah di antara
ajaran agamaku dan agama nenek moyangku. Tiada beriman
bagi orang yang tidak mengamalkan taqiyyah. - Riwayat
al-Kulaini di dalam al-Kafi mina al-Ushul.

Apatah lagi mereka beranggapan taqiyyah itu meliputi
9/10 dari agama.

Abu ‘Umar al-Ajami berkata bahawa Abu Abdullah a.s
berkata kepadanya:

Hai Abu ‘Umar, sesungguhnya 9/10 agama ialah taqiyyah.
Orang yang tidak bertaqiyyah itu tidak mempunyai
agama. - Riwayat al-Kulaini di dalam al-Kafi mina
al-Ushul.

Apabila dikritik tentang pegangan taqiyyah golongan
Syiah ini maka mereka menjawab ianya hanya
dipergunakan di dalam keadaan terpaksa seperti untuk
melindungi diri dari terkena musibah. Mereka berhujah
dengan Firman Allah S.W.T.:

Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman
(maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali
orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya
tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang
terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka
tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh
azab yang besar. - al-Nahl (16) : 106

Namun begitu di dalam realitinya Syiah mengamalkan
taqiyyah dalam segala situasi sama ada di dalam
keadaan terpaksa mahu pun tidak. Terdapat banyak
riwayat di dalam kitab-kitab mereka yang menunjukkan
imam-imam mereka melakukan taqiyyah bukan di dalam
keadaan terpaksa atau untuk menghindari bahaya.
Sebagai contohnya mari kita lihat riwayat di bawah:

Dari Muhammad bin Muslim, dia berkata: Aku masuk
kepada Abu ‘Abdullah a.s dan ketika itu Abu Hanifah
ada ditempatnya. Aku berkata kepada Abu ‘Abdullah:
Diriku menjadi tebusanmu, aku mengalami mimpi yang
buruk.

Abu ‘Abdullah berkata: Hai anak Muslim, cuba ceritakan
mimpi, kerana pakar mimpi sedang duduk di sini. Abu
‘Abdullah berkata seperti itu, sambil memberi isyarat
dengan tangannya kepada Abu Hanifah.

Aku berkata: Aku bermimpi seoalah-olah aku masuk ke
rumahku, tetapi tiba-tiba isteriku keluar menemuiku.
Dia mendapatkan banyak sekali buah badam, lalu dia
hamburkan buah badam itu kepadaku. Aku hairan dengan
mimpiku ini.

Abu Hanifah berkata: Penjelasan tentang mimpimu ialah
engkau mempunyai masalah dengan orang jahat dalam
harta peninggalan isterimu. Setelah engkau merasakan
kesulitan yang luar biasa, engkau akan mendapatkan
hakmu terhadap warisan tersebut. Insya-Allah.

Abu ‘Abdullah berkata: Demi Allah engkau berkata benar
wahai Abu Hanifah.

Berkata Muhammad bin Muslim tak lama kemudian Abu
Hanifah pun keluar dari tempat Abu ‘Abdullah lalu aku
berkata kepadanya: Diriku menjadi tebusanmu, aku tidak
suka dengan penjelasan Abu Hanifah tadi.

Abu ‘Abdullah berkata: Hai anak Muslim, engkau jangan
berperasangka buruk kepada Allah. Penjelasan mimpi
oleh mereka tidak akan sama dengan penjelasan mimpi
oleh kita dan penjelasan mimpi oleh kita berbeza
dengan penjelasan mimpi oleh mereka. Penjelasan yang
benar tentang mimpimu itu tidak seperti yang
diperjelaskan oleh Abu Hanifah.

Aku berkata kepada Abu ‘Abdullah: Diriku menjadi
tebusanmu, bagaimana kamu boleh berkata tadi Abu
Hanifah benar dan bersumpah dengan nama Allah padahal
dia salah?

Abu ‘Abdullah berkata: Ya, aku bersumpah kepada Allah
bahawa dia benar-benar salah. - Riwayat al-Kulaini di
dalam al-Kafi mina al-Ushul.

Ternyata Imam Abu Hanifah bukan merupakan seorang yang
perlu digeruni kerana dia bukanlah pembesar yang
mempunyai kekuasaan malah dia sebenarnya agak kurang
disenangi oleh pihak pemerintah ketika itu. Ternyata
di dalam riwayat di atas Imam Jaafar al-Shodiq telah
bertaqiyyah bukan dalam keadaan terpaksa, tertekan
atau berhadapan dengan situasi yang merbahaya.

Pegangan taqiyyah sebegini merupakan perbuatan yang
diharamkan oleh syarak.

Firman Allah S.W.T:

Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada
Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat - benar
(dalam segala perkara). – al-Ahzaab (33) : 70

5) Mereka meyakini al-Raj’ah

Al-Raj’ah adalah keyakinan golongan Syiah bahawa
imam-imam mereka akan dibangkitkan semula dari
kematian pada akhir zaman untuk menuntut kembali
hak-hak mereka dan serta menentang mereka yang menjadi
musuh-musuh syiah.

Mereka berkeyakinan bahawa imam mereka yang ke 12
iaitu Muhammad bin Hassan al-‘Askari akan dibangkitkan
semula sebagai Imam al-Mahdi dan mengembalikan semula
hak-hak golongan syiah yang telah dipinggirkan. Malah
kononnya Imam al-Mahdi tersebut akan membalas dendam
terhadap para sahabat dengan menghukum mereka.

Berkata sayid Al Murtadho di dalam kitabnya al-Masail
Al-Nashiriyah: Sesungguhnya Abu Bakr dan ‘Umar disalib
pada saat itu di atas suatu pohon di zaman al-Mahdi
(yakni imam mereka yang kedua belas) yang mereka beri
nama Qaim Ali Muhammad (penegak keluarga Muhammad),
dan pohon itu pertamanya basah sebelum penyaliban,
lalu menjadi kering setelahnya – Rujuk Awaailil
Maqaalaat karya al-Mufiid.

Dari Muhammad al-Baqir, dia berkata : Jika al-Mahdi
telah keluar, maka sesungguhnya dia akan menghidupkan
Aisyah Ummul Mukminin dan dia melaksanakan
(menjatuhkan) hukum had (hudud) atas diri Aisyah. -
Rujuk Haqul Yakiin oleh Muhammad al-Baqir al-Majlisi.

Ada juga di antara mereka yang beranggapan bahawa yang
akan dibangkitkan nanti bukan sahaja imam mereka yang
ke 12 tetapi seluruh imam-imam mereka. Menurut
al-Tabarsi:

Bahawa para imam akan dibangkitkan kembali (raj’ah)
sebelum kiamat sebagai mukjizat mereka. – rujuk
Al-Tabarsi, Majma’ al-Bayan.

Ternyata kepercayaan manusia yang telah meninggal
dunia akan dibangkitkan atau hidup semula ketika
berada di alam dunia merupakan satu perkara yang tidak
benar sama sekali kerana Allah S.W.T. menyatakan
bahawa ruh mereka yang meninggal dunia itu akan tetap
berada di alam barzakh sehingga pada hari kiamat.
Firman Allah S.W.T.:

Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila
sampai ajal maut kepada salah seorang di antara
mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah
daku (hidup semula di dunia); supaya aku mengerjakan
amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah
aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya
perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja
yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam
barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga
hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).
Al-Mu’minunn (23) : 99-100

6) Kepercayaan melampau terhadap Imam mereka

Di antara doktrin utama golongan Syiah adalah bahawa
kepimpinan umat Islam sepatutnya berada di tangan
Saidina ‘Ali r.a dan ketutunannya setelah wafatnya
Rasulullah s.a.w.. Dari doktrin ini maka wujudlah 12
pemimpin yang mereka gelar imam bermula dari Saidina
‘Ali dan yang terakhirnya Imam Muhammad bin Hassan
al-‘Askari. Akan tetapi golongan syiah tidak sekadar
berhenti disitu sahaja, tetapi mereka meletakkan
sifat-sifat yang melampau terhadap imam-imam mereka
seperti bersifat maksum, mengetahi perkara ghaib,
mengetahui umur dan ajal manusia, mengetahui tentang
untung nasib seseorang di akhirat kelak, memiliki
seluruh dunia dan pelbagai lagi. Mari kita lihat
beberapa riwayat yang terdapat di dalam kitab-kitab
mereka tentang hal ini

Telah berkata Imam Jaafar al-Shodiq: Kami adalah
perbendaharaan ilmu Allah, kami adalah penterjemah
perintah Allah, kami adalah kaum yang maksum, telah
diperintahkan untuk mentaati kami, dan dilarang untuk
menentang kami, kami adalah hujjah Allah yang kuat
terhadap siapa yang berada di bawah langit dan di atas
bumi. - Riwayat al-Kulaini di dalam al-Kafi mina
al-Ushul.

Dari Jaafar, dia berkata : Sesungguhnya Imam jika dia
berkehendak mengetahui, maka dia pasti mengetahui, dan
sesungguhnya para imam mengetahui kapan mereka akan
mati, dan sesungguhnya mereka tidak akan mati kecuali
dengan pilihan mereka sendiri. - Riwayat al-Kulaini di
dalam al-Kafi mina al-Ushul.

Imam mereka yang ke 8 iaitu ‘Ali bin Musa telah
menulis sebuah surat kepada ‘Abdullah bin Jundab yang
di antara isi kandungannya: Amma ba’du, Kami
orang-orang kepercayaan Allah di bumi-Nya. Kami
mempunyai ilmu tentang musibah, kematian, nasab
keturunan Arab dan kelahiran Islam. Jika kami melihat
seseorang, kami tahu apakah dia betul-betul beriman
atau betul-betul munafik. Kelompok kami ditulis,
lengkap dengan nama mereka dan ayah mereka. Allah
mengambil perjanjian dari kami dan mereka. - Riwayat
al-Kulaini di dalam al-Kafi mina al-Ushul.

Ternyata perkara-perkata di atas amat bertentangan
dengan syarak kerana sesungguhnya yang mengetahui
perkara-perkara ghaib hanyalah Allah S.W.T..
Rasulullah s.a.w. sendiri tidak memeliki pengtahuan
tentang perkara-perkara ghaib melainkan apa yang
diwahyukan kepadanya malah baginda sendiri tidak dapat
membezakan siapakah yang beriman atau munafik.

Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di
bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan
Allah!" Dan tiadalah mereka menyedari bilakah
masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah
mati). – al-Naml (27) : 65

Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku tidak mengatakan
kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di
sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara
yang ghaib. – al-An’aam (6) : 50

Dan di antara orang-orang yang di sekeliling kamu dari
orang-orang "A'raab" ada yang bersifat munafik dan
(demikian juga) sebahagian dari penduduk Madinah;
mereka telah berkeras dengan sifat munafik; engkau
tidak mengetahui mereka (bahkan) Kamilah yang
mengetahui mereka. Kami akan azabkan mereka
berulang-ulang, kemudian mereka dikembalikan kepada
azab yang besar. – al-Taubah (9) : 101

Imam al-Khomeini pemimpin revolusi Iran yang menjadi
idola bagi negara Syiah Iran, kelompok Hizbullah di
Lubnan dan juga komuniti Syiah di seluruh dunia
beranggapan Imam-Imam tersebut lebih mulia dari para
malaikat dan nabi-nabi. Kata-kata sesat Imam
al-Khomeini di dalam kitabnya Hukumat al-Islamiyah
adalah seperti berikut: Sesungguhnya imam-imam kita
mempunyai suatu kedudukan yang tidak bisa dicapai oleh
malaikat yang didekatkan, dan tidak pula oleh nabi
yang diutus

Demikianlah sebahagian kecil dari kesesatan yang
terdapat di dalam fahaman Syiah yang penulis rasakan
sudah memadai untuk kita sedari bahawa perbezaan di
antara Ahlus Sunnah wal Jamaah dan Syiah sebenarnya
termasuk di dalam perkara-perkara yang pokok serta
mendasar. Itulah sebabnya ulamak-ulamak muktabar di
sisi Ahlu Sunnah wal Jamaah tanpa ragu-ragu telah
menyesatkan aliran Syiah al-Rafidhah ini. Hujjatul
Islam Imam al-Ghazali r.h memberikan komentarnya
berkaitan golongan-golongan ini, pada zahirnya mereka
penyokong setia Ali akan tetapi pada batinnya
sebenarnya mereka adalah orang kafir. Imam al-Syafi’i
r.h juga amat membenci kelompok Syiah al-Rafidhah ini.

Yunus bin ‘Abdul A’la mengatakan: Aku mendengar Imam
al-Syafi’i, apabila disebut nama al-Rafidhah, dia pun
mencela mereka sekeras-kerasnya dan menyatakan bahawa
mereka adalah seburuk-buruk kaum. – Rujuk Manaqib
al-Baihaqi, jilid 1, ms. 468.

Mungkin ada yang beranggapan golongan fahaman Sy’iah
Ithna ‘Asyariyyah sebagaimana yang dipegang oleh
penduduk Syiah di Iran dan Iraq mahupun anggota
Hizbullah di Lubnan bukanlah seperti golongan
al-Rafidhah yang dicela oleh ulamak-ulamak Islam
terdahulu. Hal ini dapat dibantah kerana
kesesatan-kesesatan Syiah yang penulis bentangkan
sebelum ini adalah dengan menukilkannya dari
kitab-kitab yang dianggap muktabar oleh mereka.
Tambahan pula Imam Abu al-Hassan al-Asy’ari di dalam
kitab Maqalat al-Islamiyyin telah memasukkan Sy’iah
Ithna ‘Asyariyyah ini ke dalam golongan Syiah pelampau
dan al-Rafidhah.

Kesimpulannya kita perlu berhati-hati dengan fahaman
Syiah yang sedang menyusup masuk ke tengah-tengah
masyarakat Islam di Malaysia. Kelantangan Mahmoud
Ahmadinijad terhadap Amerika bukanlah menjadi satu
faktor penyebab untuk membenarkan aliran Syiah. Jika
itulah bentuk piawaiannya maka kita kena juga
mengiktiraf idelogi sosialis / komunis yang di bawa
oleh Fidel Castro, Presiden negara Cuba dan Hugo
Chavez, Presiden bagi negara Venezuela kerana mereka
juga begitu lantang mengkritik Amerika. Walaupun kita
kagum dengan keberanian tentera Hizbullah ketika
menentang tentera Israel tetapi ianya tidak bermakana
kita perlu mengiktiraf ideologi Syiah yang sesat.
Negara-negara Arab yang lain seperti Mesir, Lubnan,
Syiria, Jordan, Pelestine dan Arab Saudi juga pernah
berperang dengan Israel dan pernah mengalami
kemenangan. Sekiranya kehebatan berperang dengan
negara yang memusuhi Islam hendak dijadikan piawaian
tentang kebenaran sesuatu pegangan maka kita juga
perlu mengiktiraf fahaman komunis yang dipegang oleh
tentera Vietnam dan Korea Utara yang pernah berperang
dengan tentera Amerika. Fahaman yang sesat tetap
dikatakan sesat tanpa kompromi
 

Posted at 04:25 am by muharikah

Namegombloh slamet rofaee
August 2, 2008   10:12 AM PDT
 
jika anda tidak berilmu yang cukup jangan ber andean yang keliru....apakah anda juga belajar fikih imam jafar sodik atau ali zainal abidin...kenapa mereka tidak dijadikan tokoh rujukan di bidang hadis ataupun ilmu fikih...kita berfikir secara terbuka bukan menutup diri...bukan siah atau sunni..wajah sunnah yang bagai mana yang dikehendaki ..kita sekarang jaman terbuka..sehingga kita akan mengkaji menelaah..kalau perlu adakan kelas orientalis seperti orang barat mengkajai budaya timur..sehingga kita dapat menemukan akar yang jadi permasalahan kita...jangan langsung menghakimi yang lain tampa sandaran ilmu..jangan pula kita ikut emosi belaka untuk menghakimi sesuatu.... pelajari dan dalami sedalam dalamnya barulah katakan pengertian yang di dapat..dalam filsafat..ada ungkapan pengertian pembuka jalan..tapi pengertian yang bagai mana ..tentu pengertian yang benar atau pengertian yang keliru,,,jika ndisampaikan dengan metodiologi..bagai mana supaya anda punya pengertian yang benar..banyak belajar untuk menjana ilmu.....bukan hanya sepintas lalu dengan membaca sepotong potong riwayat..atau sekerat buka ..kemudian saudara mengatakan itulah isi yang benar... anda melihat...apa metodiologi yang diajarkan alkura"an untuk metodiologi ilmu....buakn cara aristoteles atau plato atau...sokrates..atau karl mark..zeno dll.....berfikir untuk bercermin diri....coba pandang dan renungkan dimana kaki kita berpijak dan persepsi yang bagai mana yang mengajari kita..apakah telah berobah persepsi itu atau hanya bertukar wajah bagai mana persepsi itu terbentuk
 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments







Previous Entry Home Next Entry


muharikah
July 7th
Female
Dundee
   

<< February 2007 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03
04 05 06 07 08 09 10
11 12 13 14 15 16 17
18 19 20 21 22 23 24
25 26 27 28


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:




rss feed